Agenda Tanah Melayu

Salam sejahtera Tanah Melayu untuk saudaraku sekelian. Sedarkah kita bahawa perpaduan kita kini semakin terurai? Seolah-olah kita dambakan kehancuran. Sedarkah kita bahawa ketuanan kita semakin dicabar? Seolah-olah kita pendatang yang menumpang kemakmuran Tanah Melayu. Sedarkah kita bahawa kedaulatan kita semakin diasak? Seolah-olah kita bangsa lemah yang boleh diganyang dan dimamah sembarangan.

Semestinya kita sedar akan hakikat ini. Kita tahu kekuatan kita semakin menghilang. Kita sedar maruah kita semakin tergadai. Kita mengerti masa depan kita semakin tidak keruan. Kita pasrah Tanah Melayu yang diwarisi ini makin terlerai daripada genggaman kita. Namun, kita masih enggan memulihkan keadaan. Kita hanya berani menunjuk kekuatan terhadap sesama kita. Hanya tahu menghela amarah kepada bangsa sendiri. Tidak sanggup bangun menghulur tangan memohon maaf dan menggengam erat membina kembali kekuatan.   

Insaflah saudaraku sekelian, Melayu bukan lagi bangsa yang dihormati. Kita bukan lagi dianggap tuan di Tanah Melayu, apa lagi sebagai penguasa di Nusantara. Kemasyuran kita sudah lama terkubur. Bangsa yang gah dan perkasa suatu ketika dulu sudah tiada lagi. Yang tinggal hanyalah bangsa yang lemah dan berpecah. Melayu telah layu. Gara-gara dendam dan kesumat serta hasad dan dengki sesama bangsa yang membaluti hati kita.

Saudaraku, kembalilah bersatu. Hentikanlah segala sengketa sesama kita. Perbaharuilah azam dan tekad kita. Letakkan semula perjuangan kita di landasan yang sebetulnya. Jadikan Tanah Melayu sebagai wadah perjuangan bangsa. Pertahankanlah warisan kita. Berdamailah, demi bangsa, nusa dan agama.

Bagi mencapai matlamat murni ini, Tanah Melayu memaparkan nukilan berbentuk laporan peristiwa, pendedahan dan pandangan  mengenai perihal  berkaitan kepentingan bangsa untuk dijadikan sumber ilmu dan perbincangan yang membawa kepada titik persamaan puak Melayu yang bersengketa.

Seandainya saudara ingin sama menyuarakan rasa hati Melayu, nukilan saudara haruslah berdasarkan fakta, sumber yang  bertanggungjawab, atau pengamatan yang adil, bukan pembohongan atau fitnah yang  pastinya akan merosakkan lagi perpaduan dan persaudaraan Melayu. Harus diingat, Tanah Melayu bukan gelanggang untuk bertikam sesama bangsa, apa lagi sebagai tempat menjamah daging saudara sendiri.

Seandainya wujud kecurigaan atau ketidakpastian berhubung sesuatu perkara, bolehlah ia dikemukakan kepada Tanah Melayu untuk dipersembahkan sebagai makluman serta bahan perbincangan  bagi menyerlahkan kebenaran. InsyaAllah, sebarang permasalahan yang dibawa bermusyawarah akan dapat diselesaikan dengan baik.

Akhir sekali, nukilan yang disiarkan bukan melambangkan pendirian atau pandangan mutlak Tanah Melayu kerana sesungguhnya agenda Tanah Melayu adalah sebagai perantara atau wadah untuk membentuk penyatuan Melayu yang mantap bagi mempertahankan warisan bangsa. Melayu yang bersatu bukan saja bangsa yang kuat dan digeruni, tetapi juga bani harapan saudara Islam sejagat yang mendambakan pembelaan daripada kezaliman kaum kufar. Hidup Melayu! Amin.

Tanah Melayu

1