Antara Gema Tetabuh, Keketuk Dan Zikir Tempurung

Oleh Maarop Md Noh

MASYARAKAT Melayu moden mungkin tidak lagi begitu mengenali tetabuh, keketuk dan zikir tempurung yang menjadi alat perhubungan penting bangsa Melayu sejak berkurun lalu. Ketiga-tiga alat itu mungkin mempunyai gelaran yang lain menurut komposisi kaum di sesetengah tempat.

Misalnya, di Selangor, tetabuh juga dikenali dengan beduk manakala keketuk dikenali dengan kentung sementara zikir tempurung hanya dikenali golongan berusia 70 tahun ke atas.  

Zikir tempurung mengambil nama perbuatan memukul tempurung bersahut- sahutan dengan ranting kayu atau buluh yang diraut khas oleh suri rumah apabila berlaku sesuatu bencana.

Walau apa pun namanya, kepada masyarakat Melayu lama, fungsi ketiga-tiga alat itu cukup besar. Misalnya, ketika penjajahan pertama Portugis ke atas Melaka pada 1511, kedatangan musuh diberitahu dengan memukul tetabuh di masjid.

Kemudian kampung yang mendengar bunyi tetabuh itu akan memukul keketuk di semua surau. Suri rumah pula memukul tempurung kelapa yang tidak dibelah tetapi ditebuk bagi melahirkan bunyi nyaring. Tradisi itu berterusan sehingga ke zaman darurat.

Tetabuh biasanya diletakkan di masjid dan keketuk di surau sementara zikir tempurung disediakan di setiap rumah. Kedudukan tetabuh lebih strategik kerana ia diletakkan di masjid yang menjadi lambang kesatuan bangsa Melayu. Apabila tetabuh dipukul, bunyinya yang padat dan bergaung itu akan didengar oleh masyarakat kampung.

Lantaran itu, orang tua pernah berkata: "Apabila bunyi tetabuh dan keketuk bersahutan, tanda musuh mula menyerang dan angkatan perang mesti bersiap sedia." (Rujuk buku siri Sejarah Selangor, Pahang, Perak, Terengganu, Kelantan, Johor, Perlis dan Kedah)

Ringkasnya, tetabuh, keketuk dan zikir tempurung adalah sistem perhubungan yang mudah tetapi cukup canggih pada zamannya. Musuh yang tidak mengetahui fungsi ketiga-tiga alat itu akan terperangkap. 

Perkara ini dilakukan secara berkesan oleh semua penglima dan pejuang bangsa Melayu, sama ada menentang penjajahan atau darurat.

Antara mereka ialah Datuk Bahaman dan rakannya seperti Mat Kilau, Tok Gajah di Pahang, Tok Janggut di Kelantan, Tok Ku Paloh di Terengganu, Datuk Mahajaralela di Perak, Tok Panglima Garang di Selangor dan ramai lagi di seluruh Tanah Melayu.

Selain itu, tetabuh dan keketuk juga digunakan untuk memberitahu masyarakat mengenai kemasukan waktu solat, berbuka puasa, berhari raya, kematian dan pelbagai lagi.

Kini walaupun semua alat berkenaan mungkin masih bergantungan di suatu masjid dan surau, fungsinya sudah terhad atau mungkin terhakis. Malah, di sesetengah masjid dan surau, tetabuh dan keketuk sudah tidak wujud. Tempatnya sudah diambil alih oleh alat pembesar suara.

Selain itu, seperti biasa, tidak ramai masyarakat Melayu menyedari tetabuh dan keketuk mempunyai tugas tersirat yang menjiwai masyarakat Melayu, terutama dalam suasana politik semasa.

Apabila kita menyelongkar siri sejarah negeri di Tanah Melayu, kita dapati semua alat berkenaan mempunyai hubung kait dengan kegiatan politik.

Misalnya, tetabuh yang dianggap sebagai salah satu tanda keagungan masjid itu apabila dikaitkan dengan politik semasa, jelas membayangkan satu kuasa yang mempunyai autoriti yang khusus.

Tetabuh hanya dibunyikan apabila ada sesuatu perkara penting. Ia tidak boleh dipalu sesuka hati, begitu juga keketuk. Fungsi ini berbeza dengan gong atau tambur atau rebana besar (rebana ubi) yang boleh dipalu untuk bersuka ria. 

Dalam politik semasa, suara tetabuh boleh dikaitkan dengan Umno yang inginkan perpaduan Melayu dipertahan dan dikekalkan.

Bagi Umno, usaha untuk menyatukan semula bangsa Melayu yang berpecah sejak pilihan raya 1999 adalah satu gema yang bergaung ke seluruh pelosok tanah air dan menusuk hati sanubari bangsa Melayu. Bagi Umno, walau apa pun perbezaan politik, bangsa Melayu di tanah air ini tidak boleh berpecah. 

Pilihan raya hanyalah satu alat pengukur kekuatan sesuatu parti politik tetapi apabila keputusan pilihan raya itu memperlihatkan kecenderungan ketidakstabilan bangsa, sesuatu mesti dilakukan.

Dalam hubungan ini, walau apa pun pandangan umum terhadap Umno, terutama kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad, yang juga Presiden Umno, tindakan beliau mengajak parti pembangkang yang berteraskan Melayu supaya duduk semeja berunding dan mencari jalan menyatukan dan mengukuh perpaduan bangsa Melayu, tidak harus dipandang ringan.

Pada 2001 dan abad yang penuh mencabar ini, bangsa Melayu perlu merapatkan barisan bukan saja untuk kepentingan politik, malah untuk kestabilan negara, bangsa dan agama. Generasi yang ada sekarang, selain harus belajar daripada generasi meraih kemerdekaan, mesti menyediakan wadah untuk generasi akan datang.

Perpecahan yang sengaja dicipta di atas rekahan fahaman politik sempit akan membawa padah besar kepada generasi akan datang.

Kita harus belajar daripada sejarah beberapa negara dan kuasa besar sebelum ini. Kesatuan Soviet Russia adalah contoh paling dekat dengan kita. Negara terbesar Eropah itu hancur apabila pemimpinnya tidak lagi melihat kesatuan bangsa sebagai satu kekuatan. 

Kita jangan segan silu melihat negara serumpun, Indonesia, dan jiran yang juga anggota Asean, Filipina, Myanmar, Vietnam dan Kemboja. Mereka menghadapi pelbagai krisis, termasuk kepemimpinan ekonomi, politik dan hak asasi manusia akibat mengetepikan kepentingan perpaduan.

Jika kita meneropong lebih jauh, kita akan melihat Bosnia-Herzegovina dan Kosovo dihancurkan. Pada zaman penjajahan, kita melihat negara Afrika Utara dan Selatan begitu mudah ditakluki. Semuanya berakibat rapuhnya strategi perpaduan.

Kemelut ekonomi yang melanda Asia pada 1997 adalah contoh paling dekat dan menyayat hati. Walaupun Malaysia berjaya keluar dari perangkap maut kemelut itu, Thailand, Korea Selatan, Indonesia dan Filipina terjerat dengan perangkap penjajahan bentuk baru kuasa besar ekonomi dunia.

Mereka menggunakan penyangak mata wang dan Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) serta Bank Dunia untuk melumpuhkan negara Asia yang sebelum itu dilihat sebagai `harimau, ekonomi baru dunia'.

Di dalam Islam sendiri, banyak teladan yang perlu dijadikan contoh. Perpecahan masyarakat Islam ketika pelantikan Saiyidina Abu Bakar as- Siddik menjadi khalifah berakhir dengan pembunuhan Saiyidina Umar Ibnu Khattab, Saiyidina Osman Ibnu Affan dan Saiyidina Ali Abu Talib.

Selain itu, selepas Nabi Muhammad saw wafat, dalam tempoh 600 tahun umat Islam berperang sesama sendiri walaupun Islam sudah menguasai hampir satu pertiga dunia.

Akibatnya keagungan Islam tumbang. Begitu juga dengan berpuluh-puluh empayar China bertukar ganti akibat tidak wujudnya kesatuan bangsa yang kukuh.

Malaysia yang sudah mencapai kemerdekaan selama 43 tahun menikmati keamanan yang cukup teratur. Masyarakat berbilang kaum yang menjadi rakyatnya hidup harmoni. Tidak ada rasa sebarang kebimbangan di kalangan rakyat.

Walaupun ada peristiwa hitam 13 Mei 1969, ia melahirkan satu anjakan paradigma yang cukup besar kepada negara. Peristiwa itu jadi pemangkin lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan dasar pelajaran kebangsaan dan Rukun Negara.

Tetapi, akibat penyakit lama bangsa Melayu yang tidak suka melihat bangsanya sendiri makmur, pilihan raya umum 1999 memperlihatkan perpecahan berlaku agak serius kepada bangsa Melayu.

Dr Mahathir dan seluruh umat Melayu yang cintakan negara, agama dan bangsa Melayu ini tidak ingin perpecahan itu dibiar berterusan. Kerana itu, walaupun ada pelbagai pihak yang cuba mengacah dari jauh, beliau terus berusaha supaya bangsa Melayu yang sinonim dengan Islam tidak berkecai dan generasi akan datang dihanyut oleh keadaan yang tidak menentu.

Dari segi maruah politik, kesanggupan Dr Mahathir menghulurkan tangan mengajak semua parti politik Melayu bersatu adalah langkah dan tindakan paling mulia. Begitu juga tindakan Presiden Pas, Datuk Fadzil Noor, menerima undangan itu melambangkan kemuliaan budaya politik yang tinggi yang diamalkan oleh bangsa Melayu.

Dalam politik Melayu, strategi organisasi yang diperkenalkan Barat, misalnya Steven Covey, Peter Drucker, Krass, Lester Thurow, Philip Kotler, malah pemikiran Edward De Bono (sekadar menyebut beberapa nama saja), tidak dapat menyelesaikan masalah. Ini kerana dalam politik Melayu, ia ada formula tersendiri.

Semuanya tersimpul dalam pepatah bangsa Melayu: Air dicincang tidak akan putus, biduk lalu kiambang bertaut, carik-carik bulu ayam diusap bercantum juga dan banyak lagi.

Bagaimanapun, formula ini boleh diperkukuh dengan menyerap atau menyaring falsafah dan strategi politik Asia, Sun Tzu, Kung Ming, Tao, Thick Face Black Heart, The Asian Mind Games, Japanese Mind Games, Chinese Influence, Bamboo Connection, Mohasashi, Romance of Three Kingdoms dan pelbagai lagi.

Dr Mahathir dan Fadzil sudah memukul tetabuh dan keketuk untuk perpaduan. Biarkan mereka bersahutan irama dan bermesra di meja bulat perundingan dan biarkan juga parti Keadilan yang sengaja mencicirkan diri dengan tidak ikut melanjutkan zikir tempurungnya.

(Petikan daripada Berita Harian, 11/1/2001, ms.23)

1