Nuralam Akbar Selar Malaysiakini

PERTAMA-TAMANYA ucapan tahniah dan syabas kepada pengendali laman Tanah Melayu ini. Semoga usaha ini meransangkan lagi orang ramai untuk berkarya. Sebelum ini, saya telah menghantar tidak kurang 20 karya untuk disiarkan dalam laman akhbar Internet Malaysiakini, tetapi malangnya ia hanya menggunakan tulisan yang berpihak kepadanya sahaja.

Laman Malaysiakini hanya mendakwa mengendalikan Malaysiakini dengan bebas dan bertanggungjawab, sedangkan mereka hanya melihat kebebasan akhbar dalam perspektif mereka sahaja. Dalam pemerhatian saya terhadap Malaysiakini, Press Freedom hanya ditafsirkan kepada tulisan yang cenderung kepada anti-kerajaan, sedangkan kebebasan mestilah berpaksikan kebenaran - sama ada dari kerajaan atau pembangkang.

Sehubungan itu, maklumat mestilah dilihat secara adil dan hujah perlu dikemukakan kepada umum, untuk penilaian. Pada hemat saya, akhbar Internet itu yang mendakwa mempertahankan Press Freedom adalah hanya balutan kepada sejenis propaganda pembangkang.

Sebagai seorang yang non-governmental individual (NGI), saya lebih cenderung untuk melihat sesuatu pandangan berdasarkan hujah-hujah rasional - sama ada daripada PAS, Keadilan, PRM, DAP atau Barisan Nasional. 

Kebebasan akhbar Internet Malaysiakini itu, hanya akan menyiarkan tulisan yang bersesuaian dengan selera pengendalinya - editornya. Jika tulisan yang agak berlawanan, maka mereka anak membakulsampahkan - seolah-olah Editor Malaysiakini menjadi tuhan yang boleh menghukum tulisan.

Saya suka mencadangkan kepada pengendali Tanah Melayu supaya menyatakan falsafah dan prinsip yang akan digunakan untuk laman web ini, supaya pembaca dapat meneliti dan dapat menghantar tulisan yang bersesuaian dengan prinsip berkenaan. Prinsip Malaysiakini, pada pemerhatian saya, lebih cenderung kepada pembaca anti-kerajaan. Dan, mereka cenderung mahu menarik pembaca melalui kritikan-kritikan kepada UMNO.

Saya lebih cenderung kepada dasar yang agak adil - sama ada dari sudut pandangan kerajaan atau pembangkang. Saya akui di seluruh dunia hari ini, sikap anti selalunya lebih popular berbanding dengan sikap menyokong. 

Bagaimanapun, sebagai seseorang yang lebih berminat kepada wacana intelektual, maka saya akan melihat sesuatu berdasarkan dalil-dalil rasional. Semoga Tanah Melayu tidak mengamalkan cara Malaysiakini atau mana-mana laman yang hanya melihat dari satu perspektif sahaja.

Nuralam Akbar

Johor

(Januari 2001)

1