Bangsa Melayu Perlu Tahu Had Perpecahan

BANGSA adalah asas kepada pembinaan negara. Tanpa bangsa yang unggul, negara akan dirantai dengan pelbagai kemelut perpecahan dan pertelingkahan. Justeru, bangsa yang kuat akan terus menguasai negara, sebaliknya bangsa yang lemah akan menghadapi pelbagai ancaman, termasuk dijajah.

Melayu adalah antara bangsa yang paling bernasib baik kerana ia bukan saja dapat mengekalkan kedudukannya sebagai bangsa yang berkuasa di negara sendiri, bahkan memastikan kuasa itu terus kekal di tangan anak bangsa melalui Perlembagaan Persekutuan.

Tamadun Melayu terbentuk di rantau ini sejak kurun pertama lagi melalui empayar Funan sebelum digantikan oleh Kerajaan Champa sebelum kejatuhannya dan beralih ke kawasan kepulauan sekitar Selat Melaka melalui Kerajaan Sri Wijaya, Majapahit, Bentan dan Melaka serta lain-lain.

Sejarah membuktikan perpecahan sesama bangsa adalah antara punca kelemahan Melayu sehingga dijajah oleh pendatang asing. Selepas Portugis menjajah Melaka, disusuli Belanda, penguasaan Barat ke atas Tanah Melayu pula menyaksikan bangsa Melayu benar-benar diperlekeh dan dibuat seperti `menumpang' di bumi sendiri.

Pakar sejarah, Prof Datuk Dr Ramlah Adam, berkata ketika zaman penjajahan British, sistem `pecah dan perintahnya' bukan saja membahagikan bangsa Melayu kepada kelompok kecil di luar bandar, bahkan mereka turut membawa masuk orang luar.

Tindakan Barat itu menyerlahkan lagi kelemahan bangsa Melayu, ditambah lagi dengan kekurangan kita menguasai bidang utama, iaitu ekonomi dan pendidikan.

Hasilnya, kuasa ekonomi berada di tangan kaum Cina dan India yang dibawa masuk secara beramai-ramai. British pula menguasai politik manakala Melayu tinggal sebagai bangsa pribumi tanpa memiliki apa-apa kelebihan.

Tanah Melayu bagaimanapun bernasib baik kerana British tidak bersikap seperti penjajahan Belanda di Indonesia yang menghapuskan semua kuasa rumpun Melayu dengan membentuk republik dan bangsa Indonesia, apabila membenarkan Tanah Melayu mengekalkan institusi beraja dan pemerintahan tradisional.

"Belanda menghapuskan semua kerajaan Melayu di Indonesia. Kerabat diraja di sana jadi orang biasa. Apabila institusi seperti ini musnah, dengan sendirinya ia langsung tidak mempunyai sistem yang boleh mereka banggakan. Bangsa Melayu di republik itu lenyap dan sebagai ganti, muncul bangsa Indonesia yang tidak lagi mengambil kira kedudukan bangsa.

"Nasib kita baik kerana sikap Melayu di sini tidak agresif seperti Melayu Indonesia yang kuat membunuh. Melayu di sini lebih banyak menjadi penyokong, lebih mudah berkompromi dan bertolak-ansur," kata Dr Ramlah.

Bagaimanapun, sikap itu tidak mematikan semangat juang Melayu untuk mendapatkan haknya sekiranya didesak dan penentangan terhadap penjajahan British apabila Malayan Union diperkenalkan pada 1946.

Tetapi, dalam perjuangan itu, bangsa Melayu berpecah kepada tiga kelompok, iaitu golongan konservatif yang menerima hierarki Melayu seadanya; kumpulan agresif menjadikan Indonesia sebagai contoh dan berhasrat untuk membentuk Malaysia Raya; dan golongan raja-raja, bangsawan dan berpendidikan Inggeris yang tidak komited kepada perjuangan Melayu.

Ancaman utama ketika itu datangnya dari kelompok kedua yang tidak ragu- ragu untuk bergabung dengan Parti Komunis Malaya (PKM), sehingga sanggup mencetus huru-hara di Tanah Melayu bagi mencapai hasrat itu.

Tindakan British mengharamkan semua pergerakan yang ada hubungan dengan negara jiran itu, menyaksikan golongan majoriti yang diketuai parti Melayu, Umno, berjaya menentang idea Malayan Union dan sekali gus meletakkan ia sebagai penjaga institusi kekuasaan bangsa Melayu.

"Sekiranya golongan kedua, iaitu yang berkiblatkan Indonesia, berjaya menguasai Tanah Melayu ketika itu, Laut China Selatan, Laut Sunda dan perairan sekitarnya sudah pasti akan bermandi darah. Secara tidak langsung, British menyelamatkan keadaan dengan mengharamkan semua parti yang ada hubungan dengan Indonesia.

"Seperti biasa, dalam mana-mana pertandingan politik, majoriti akan menang. Dalam kes pada 1946 ini, yang menang ialah kumpulan Melayu biasa yang pentingkan budaya dan kepentingan tempatan, manakala yang pro- Indonesia diharamkan dan yang terlalu pro-British pula dijinakkan," kata Dr Ramlah.

Justeru, katanya, walau apapun perubahan politik, bangsa Melayu perlu memastikan supaya mereka tidak kehilangan semua kuasa yang ada.

"Kerana itu, kita perlu tahu had setakat mana kita boleh berpecah. Jangan sampai tidak boleh bercantum balik. Seperti kata pepatah `carik- carik bulu ayam, lama-lama bercantum juga'. Peribahasa kita ini memang amat tinggi pemikiran," ulasnya.

Beliau mengakui, ketika zaman itu, antara punca Melayu berpecah ialah kerana terlalu marah dengan sikap dan tindakan pengasas Umno, Datuk Onn Jaafar, yang ingin membuka pintu parti kepada bukan Melayu.

Perpaduan Melayu semakin kukuh sehingga negara mencapai kemerdekaan dan bergolak semula akibat ketegangan kaum pada akhir tahun 60-an. Kemuncaknya, pada 13 Mei 1969 menyaksikan Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman, terpaksa meletak jawatan kerana gagal menangani pelbagai isu yang melanda bangsa Melayu yang jelas terpinggir.

Bagaimanapun, sikap bangsa Melayu yang tidak suka bergaduh, mudah berkompromi dan bertolak-ansur, menyaksikan mereka sanggup berkongsi kekayaan dan pemerintahan dengan semua bangsa pendatang, terutama Cina dan India.

Satu-satunya langkah yang dapat memastikan ketuanan Melayu dikekalkan selama-lamanya ialah dengan menggaris segala hak keistimewaan yang memang wajar menjadi milik pribumi di dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Nama negara ini, iaitu Persekutuan Tanah Melayu, sekali gus menjadikan bangsa Melayu dominan. Melayu di sini bukan sebagai pelengkap tetapi pemerintah.

"Kita amat bernasib baik kerana Tanah Melayu ini menjadi tapak begitu unik, iaitu untuk orang Melayu dan kedudukan itu tidak wajar dipertikaikan oleh sesiapa juga," katanya.

Mengulas mengenai elemen bangsa dan agama, Dr Ramlah berpendapat kedudukan bangsa itu adalah lebih relevan daripada agama kerana negara akan muncul jika ada bangsanya. Kedudukan suku atau puak hanya elemen di dalam bangsa tetapi bangsa adalah asas kepada pembinaan negara.

"Jika pemikir seperti Ibn Batuta sudah memanggil kita bangsa Melayu sebelum kedatangan Islam lagi, mengapa orang Melayu tidak boleh menerima dan menyempit fikiran dengan mengorek benda-benda kecil yang sebenarnya menyusahkan kita.

"Memang Islam agama kita tetapi Islam datang selepas adanya bangsa Melayu, begitu juga agama lain, seperti Hinduism sebelum Islam. Jadi, dalam konteks ini, kita bukan bercakap mengenai bangsa Melayu yang sempit tetapi sebagai satu rumpun Melayu," katanya.

Justeru, katanya, perpecahan yang berlaku di kalangan bangsa Melayu ketika ini banyak membabitkan ideologi dan pemahaman diri yang fanatik.

"Ketika ini, terdapat golongan yang percaya kepada elemen luar yang mengatasi hak sebagai bangsa Melayu seperti Islam. Bagi golongan ini, Islam adalah yang paling mutlak yang perlu kita gunakan, termasuk dalam hal ehwal pemerintahan.

"Bagi golongan ini, bangsa tidak penting, yang penting adalah agama. Lebih malang, kelompok ini menggunakan Islam sebagai ideologi politik dan mereka menolak konsep bangsa dan negara. Hakikatnya ialah Islam adalah agama dan mana-mana penganutnya tanpa mengira bangsa tidak akan memperkecilkannya.

"Tetapi dalam jangka panjang, ideologi politik yang berdasarkan agama seperti yang berlaku sekarang akan membunuh bangsa dan negara Melayu. Ia juga tidak begitu baik untuk Malaysia yang memiliki masyarakat majmuk," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Ramlah berpendapat terdapat tiga kelompok besar ketika ini, iaitu Melayu yang menerima negara seadanya dan tidak kisah dengan apa yang berlaku; Melayu yang membenarkan elemen seperti agama mengatasi segala-galanya; dan golongan bukan Melayu yang bertuhankan wang dan kebendaan.

Baginya, golongan pertama akan mempertahankan keamanan dan keharmonian yang dikecap selama ini. Kumpulan kedua pula akan menentang apa saja yang dianggap tidak Islam atau sekular, termasuk mereka yang telah berjasa menaikkan imej dan kedudukan negara; dan yang ketiga tidak mempunyai kesetiaan dan hanya akan setia kepada negara selagi mereka mendapat faedah dan keuntungan.

"Saya terpaksa bercakap berterus terang kerana sejarah sentiasa berulang," katanya.

(Petikan daripada Berita Harian, 13/1/2001, ms.23)

 

1