Melayu Akan Sesal Jika Peluang Berdamai Dipersiakan

PELAWAAN Umno kepada Pas dan Keadilan untuk duduk semeja membincangkan soal perpaduan Melayu tidak harus dilihat sebagai langkah terdesak parti itu atau presidennya untuk menyelamatkan diri daripada kehancuran. Sebaliknya ia harus disambut dengan penuh pengharapan agar bangsa Melayu dapat disatukan semula atau sekurang-kurangnya persengketaan yang semakin memuncak dapat diredakan.

Selepas penolakan Keadilan, sikap berkeras Pas mengenai pertemuan itu amatlah mengecewakan jutaan umat Melayu yang mengharapkan dua parti tonggak mereka duduk semeja dan bermusyuarah demi kepentingan ummah. Pas sebagai parti pembangkang paling berpengaruh dan parti Melayu kedua terbesar seharusnya menggunakan peluang ini untuk berdepan dengan Umno dan menyampaikan hasrat di hati mereka.

Simpanlah dulu soal agenda sampingan perbincangan. Apa yang penting ialah pemimpin Pas dan Umno bertemu dulu membincangkan agenda besar Melayu, iaitu perpaduan ummah. Soal agenda lain boleh disusuli selepas kedua pihak semakin menyenangi antara satu sama lain. Tanpa pertemuan pertama itu, dendam dan kesumat akibat sengketa selama ini akan terus membara dalam diri. Inilah yang perlu dilenyapkan terlebih dulu.

Apabila sudah mampu duduk semeja, maka rundingankanlah segala apa yang difikirkan perlu untuk memartabatkan semula Melayu dan Islam di Tanah Melayu dengan semangat musyuarah yang sebenar. Ketepikanlah kepentingan parti dan utamakanlah kepentingan Melayu. 

Tanah Melayu yakin Umno akan sedar akan kesalahan mereka, begitu juga dengan Pas. Muhasabahlah diri sendiri. Lihatlah kebaikan pihak lain dan pada masa yang sama renunglah kesalahan diri. Carilah titik persamaan yang menjurus kepada kebaikan bersama. 

Sesungguhnya tiada manusia biasa yang tidak melakukan kesalahan atau dosa. Kita tidak maksum seperti para anbiya. Kita perlu berani mengakui kesalahan dan seterusnya memohon maaf dan memperbetulkan perlakuan diri. InsyaAllah, perdamaian yang menjurus kepada perpaduan akan menyusul.

Berpeganglah kepada tali Allah. Umat Melayu dan Islam adalah bersaudara dan saling memerlukan. Tiada sebab untuk kita bersengeketa sesama sendiri. Allah Maha Esa itu satu dan jalan mendapatkan keredaanNya juga satu. Jika kita terbahagi kepada lebih daripada satu kumpulan dan mengikut landasan yang berbeza tetapi mengaku menuju pengakhiran yang sama, maka sudah semestinya ada sesuatu yang tidak kena.

Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa kita akan terbahagi kepada 73 kumpulan dan hanya satu saja yang berada di jalan yang benar. Sememangnya itu adalah suratan takdir, tetapi apakah kita hanya perlu berpeluk tubuh tanpa sebarang usaha menuju kembali kebenaran?

Bukankah Allah juga sudah berfirman bahwa Dia tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu sehingga kaum itu sendiri yang mengubah nasib mereka dengan izinNya? Justeru, berusahalah untuk kembali ke pangkal jalan yang satu itu? InsyaAllah kita akan diberi petunjuk dan keredaanNya.

Seandainya awal-awal lagi kita cuba berdolak dalih serta enggan berdamai, amat malanglah nasib umat Melayu. Kita akan terus bersengekata sesama sendiri sehingga segala kekuatan kita hilang. Yang untung ialah musuh-musuh kita yang sekarang amat mengharapkan kita terus bertikam sesama sendiri.

Lihatlah sekeliling kita, mereka kini amat gusar kita akan bertemu dan bermusyuarah. Pelbagai tuduhan mereka lemparkan kepada usaha kita itu. Mengapa mereka bersikap sedemikian? Tentunya mereka tidak mahu kita bersatu kembali sebagai satu umat Melayu yang perkasa. 

Sudahlah kita kini lemah untuk mempertahankan hak bangsa, nanti kita langsung tak bermaya untuk memegang keris apabila keadaan memerlukan kita berbuat demikian. Ingatlah, Tanah Melayu tidak akan terus permai seperti sekarang. Kitalah yang perlu mempertahankan kedamaian itu.

Seandainya kita terus bebal, usahlah lagi kita mengharapkan keredaan Allah kerana kitalah yang menzalimi  diri sendiri. Sebaliknya, nantilah saja musibah yang dijanjikan kepada kaum yang ingkar. Perpaduan ummah adalah kewajipan yang difardukan kepada kita. Taatilah perintah Allah itu jika kita mengaku hambaNya.

Tanah Melayu

(Februari 2001)

 

1