Kerjasama Elak Melayu Hilang Di Dunia

UNGKAPAN Hang Tuah `Tak kan Melayu hilang di dunia' mungkin terus dapat didengar dalam tempoh 100 tahun akan datang, namun fikiran kini menerawang mengenai bangsa Melayu - apa yang akan berbaki di dunia ini sekiranya perpecahan yang semakin serius sekarang tidak ditangani dengan bijaksana.

Sekiranya anda seorang Melayu yang pernah didendangkan dengan lagu `Warisan', sudah pasti rangkap pertama lagu itu akan menghiris perasaan setiap insan yang masih tebal keMelayuannya. "Anak kecil main api. Terbakar hatinya yang sepi. Air mata darah bercampur keringat. Bumi dipijak milik orang."

Air mata sudah pasti mengalir dan perasaan insaf akan menyelusur ke setiap urat nadi anak Melayu sekiranya lagu ini terus dihayati ke rangkap kedua: "Nenek moyang kaya raya. Tergadai seluruh harta benda. Akibat sengketa sesamalah kita. Cinta lenyap di arus zaman."

Parti Melayu atau majoriti Melayu pembangkang kini secara terang-terang sanggup membelakangkan soal penyatuan Melayu ini, malah dengan sinis menempelak parti pemerintah, Umno, yang didakwa menjadi punca perpecahan Melayu.

Ketua Pemuda Pas, Mahfuz Omar dan Ketua Pemuda Parti Keadilan Nasional (Keadilan), Mohamed Ezam Mohamed Nor, dengan angkuh mengatakan masalah perpecahan yang dialami bangsa Melayu sekarang bukan masalah mereka tetapi masalah Umno sebagai parti pemerintah.

Mungkin sukar untuk menyalahkan mereka kerana bersikap angkuh - parti mereka memperoleh keuntungan lummayan daripada perpecahan yang sedang berlaku sekarang. Namun, perasaan bangga diri itu mungkin menuntut harga yang tidak terbayar sekiranya persengketaan sesama Melayu ini tidak ditangani secara bersama dan secepat mungkin.

Memang sedap dapat menyalahkan sesuatu pihak, dalam hal ini Umno, tetapi adakah ia berbaloi sehingga menyaksikan anak bangsa bersengketa dan memaki-hamun sesama sendiri.

Bangsa lain tersengih melihat gelagat anak Melayu dan yang lebih agresif mengambil kesempatan untuk membuat pelbagai tuntutan dan ugutan. Keputusan pilihan raya kecil Dewan Undangan Kecil (DUN) Lunas menjadi saksi kepada amaran awal daripada bangsa mendatang itu.

Di kala bangsa Melayu berpecah dan berpuak-puak, bangsa asing menonjolkan diri dan menunjukkan kekuatan mereka untuk menentukan arah haluan pemerintahan negara. Adakah bangsa Melayu masih tidak sedar dan terus buta dengan hakikat yang sudah berada di depan mata sendiri atau adakah kita ingin menjadikan rangkap lagu Warisan `bumi dipijak milik orang' menjadi satu kenyataan?

Mahfuz dan Ezam hanya segelintir anak Melayu yang pandai bermain kata-kata dan sanggup melakukan apa saja asalkan mendapat sokongan untuk mencapai cita-cita mereka. Tetapi itu adalah cita-cita politik ... cita-cita orang politik.

Bagaimana pula dengan orang kebanyakan, rakyat biasa yang hanya inginkan kedamaian dan keharmonian untuk mencari rezeki yang halal di bumi sendiri? Rakyat Melayu sudah pasti tidak sanggup untuk melihat kuasa bangsa dirampas akibat kebodohan diri sendiri.

Sejarah lalu dan pengalaman dunia sekeliling sepatutnya memberi banyak pengajaran kepada bangsa Melayu agar tidak bermain dengan api. Kuasa yang berada dalam genggaman tidak patut dijual beli kerana sekali terjual, untuk membelinya kembali adalah mustahil.

Sebagai parti pendokong utama bangsa Melayu, Umno sudah melaksanakan tugasnya dengan baik. Pentadbiran Umno sejak Malaysia merdeka 43 tahun lalu, kini sudah meletakkan bangsa Melayu pada persada kejayaan yang luar biasa. Daripada pentadbiran yang cekap dan saksama hinggalah kepada pembangunan mengagumkan.

Jika dulu ramai yang menyangka rakyat Malaysia masih duduk di atas pokok, kini Mat Salleh yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang ada terkeluar perkataan `Oh, my god' kerana tidak terfikir Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan mana-mana bandar raya terkemuka dunia.

Bagaimanapun, penguasaan yang begitu lama mungkin turut menjadikan Umno sedikit bongkak, terutama pada awal dekad terakhir abad lalu. Kejutan pelbagai krisis pada akhir abad, mengejutkan Umno daripada alpa.

Adalah tidak bijak untuk terus mengetepikan sebuah parti yang sudah begitu banyak berjasa semata-mata kerana ia cuai seketika. Kesalahan diri sudah diakui dan pelbagai usaha sedang dilakukan untuk menebus kekurangan diri.

Justeru, azam tahun baru Umno untuk menyatukan semula bangsa Melayu demi masa depan yang lebih gemilang patut diberi sokongan padu. Politik hanya sebahagian daripada rencah kehidupan sambil pemerintah datang dan pergi. Umno, walaupun hanya sebuah parti politik, sudah membuktikan kemampuan dan kewibawaannya untuk menjulang bangsa Melayu ke persada kegemilangan.

Justeru, sebarang usaha memecah-belahkan bangsa Melayu semata-mata untuk tujuan politik hanya akan melemah dan menggugat kuasa Melayu di bumi ini. Kita tidak mahu melihat bangsa Melayu kehilangan kuasa akibat kebodohan diri sendiri.

(Petikan daripada Berita Harian, 4/1/2001, ms 23)

1